Monday, 1 May 2023

Pengalaman memohon jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) M41 (Bhg. 1)

 Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) merupakan satu kerjaya yang menjadi idaman ramai rakyat Malaysia. Setiap kali jawatan ini dibuka untuk permohonan, bilangan yang memohon sentiasa melepasi angka 100k. Jadi, pada entri kali ini saya akan kongsikan serba sedikit pengalaman saya memohon jawatan PTD sehinggalah berjaya mendapat panggilan mengikuti Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA).

1. SPA9

Permohonan jawatan PTD M41 boleh dibuat melalui portal SPA9. Semasa zaman saya, portal SPA9 lah satu-satunya platform untuk kita memohon jawatan dengan kerajaan (Sektor Awam). Setelah anda buka portal SPA9, buatlah pendaftaran pengguna dan isi segala maklumat yang dikehendaki. 


2. Kelayakan

Jawatan PTD M41 meletakkan syarat kelayakan kepada pemohon. Antara syarat utama yang perlu dipenuhi oleh pemohon ialah mestilah seorang warganegara Malaysia. Belum pernah lagi warganegara selain Malaysia boleh diterima masuk menjadi penjawat awam. Selain itu, pemohon mestilah mempunyai taraf pendidikan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda (Bachelor Degree). Sesiapa yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi daripada degree (Master atau PhD), lebih bagus. Bagi kelayakan umur pula, pemohon mestilah berusia lebih daripada 18 tahun. Semua maklumat ini anda boleh dapatkan di laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

3. Ujian / Peperiksaan

Setelah anda selesai membuat permohonan melalui portal SPA9, tunggulah sehingga anda mendapat panggilan untuk menduduki peperiksaan online memasuki perkhidmatan awam (PSEE) melalui e-mel. Kalau tak dapat e-mel, maksudnya anda tak berjaya. 

Saya dapat panggilan untuk menduduki peperiksaan online PSEE pada 1 Julai 2021. Jika lihat pada e-mel yang saya dapat di atas, peperiksaan tersebut terbahagi kepada 3 seksyen (Pengetahuan Am, Daya Menyelesaikan Masalah dan Kefahaman Bahasa Inggeris). Untuk Pengetahuan Am ni, seeloknya anda belajar atau ulangkaji subjek Pengajian Am STPM sebab ianya sangat membantu. Pengetahuan Am ni meliputi banyak perkara antaranya mengenai Perlembagaan Malaysia, isu-isu serantau (ASEAN dan Antarabangsa, ada soalan berkaitan perjanjian yang Malaysia telah memeterai dengan negara lain), geografi (ada soalan berkaitan negara dan benua, gunung tertinggi di Malaysia) dan macam-macam lagi.

Untuk Daya Menyelesaikan Masalah pula, ini adalah ujian matematik. Soalan yang dikeluarkan kebanyakannya adalah tahap PT3 dan SPM. Jadi sebelum menduduki peperiksaan, elok sekiranya anda ulangkaji balik subjek Matematik PT3 dan SPM. Ada 40 soalan yang perlu diselesaikan dalam masa 45 minit. Jadinya, anda perlulah cekap selesaikan soalan-soalan matematik tersebut dan jangan lupa guna kalkulator saintifik yang kita guna masa sekolah menengah dahulu!

Seksyen Kefahaman Bahasa Inggeris pula menguji penguasaan Bahasa Inggeris Calon. Format soalan selalunya berbentuk artikel di dalam Bahasa Inggeris dan kemudiannya diikuti dengan beberapa soalan tatabahasa, vocabulary dan makna sinonim atau antonim. Jadinya, banyakkanlah membaca dan luaskan pengetahuan Bahasa Inggeris.

Setelah selesai menduduki peperiksaan, keputusan akan dikeluarkan dalam tempoh 2 minggu selepas peperiksaan berlangsung. Berdasarkan kes saya, keputusan peperiksaan yang saya telah ambil keluar pada 22 Julai 2021.

Segala Puji bagi Allah, saya telah lulus Peperiksaan PSEE ni. Untuk pengetahuan, Peperiksaan PSEE inilah yang betul-betul menapis calon untuk layak ke peringkat seterusnya. Ramai calon yang kandas pada fasa Peperiksaan PSEE. Jika tak silap saya, saya pernah mendengar bahawa hanya 4k calon sahaja yang akan lulus Peperiksaan PSEE. Bayangkan jumlah pemohon adalah lebih 100k, maknanya kadar kelulusan hanya sekitar 4%. 

Ada juga orang yang menjual buku soalan-soalan dan silibus berkaitan Peperiksaan PSEE yang lepas. Saranan saya, belilah buku tersebut. Tak salah nak melabur sedikit supaya kita lebih bersedia untuk lulus peperiksaan yang susah ni. Tapi kalau tak berjaya juga walaupun dah beli buku tersebut, janganlah pula marah. Terimalah dengan hati terbuka bahawa ini bukan rezeki kita.

Sampai sini dahulu coretan kali ini. Fasa-fasa yang seterusnya akan ditulis pada bahagian-bahagian yang seterusnya. 😁



Rant on Agamawan dan Umat Islam di Malaysia

 Aku berbangga dengan agama aku (Islam) sebab inilah satu-satunya agama yang mempunyai sumber autentik yang sangat tinggi martabatnya kalau ...