Monday, 20 September 2021

Tikus-tikus Universe 25

 Aku tertarik dengan eksperimen Universe 25 yang dibuat oleh John B. Calhoun buat ketika ini. Semenjak dua menjak ini aku asyik memikirkan tentang eksperimen tikus ni dan aku bandingkan dengan kehidupan aku. Walaupun tikus dan manusia adalah makhluk yang sangat berbeza, namun, aku merasakan banyak pengajaran yang aku boleh dapat dari makhluk kecil yang sinonim dengan kehidupan yang kotor tu.

Universe 25 menunjukkan bahawa sesebuah ketamadunan itu akan jatuh. Kehidupan yang sempurna akan berakhir dengan kehancuran yang dilakukan oleh masyarakat di dalam tamadun itu sendiri. Aku tak perlu cerita apa yang berlaku dalam Universe 25 tu sebab korang boleh google sendiri dan dekat Youtube pun ada banyak video penjelasan pasal eksperimen tu.

Cumanya apa yang membuatkan aku ingin tulis dekat blog aku ni setelah 2 tahun aku tak bukak blog ni adalah disebabkan oleh cara aku berfikir sebelum ini. Aku pernah berfikir bahawa kehidupan di dunia ni adalah sementara dan tidak akan memberi kebahagiaan yang kekal. Maka, mulalah aku membawa falsafah kehidupan yang zuhud dan tak mahu mengejar dunia.

Bila aku fikir balik, gaya pemikiran zuhud dan pasif kepada dunia membuatkan aku ni sama sahaja dengan tikus jantan yang digelarkan sebagai 'beautiful ones' yang mana tikus-tikus jantan ni hilang kemahuan untuk mempertahankan kawasan dia dan hilang nafsu untuk mengawan bersama tikus-tikus betina yang lain. Apa yang penting bagi 'beautiful ones' ni ialah sekadar mempunyai makanan yang cukup dan tempat untuk berehat. 

Eksperimen ni membuatkan aku tersentak dan merasakan bahawa falsafah kehidupan yang pasif kepada dunia sebenarnya salah dan akan membawa kehancuran kepada ketamadunan. Betul, sifat zuhud iaitu tidak mencintai kehidupan dunia itu adalah sifat yang mulia. Tapi, jika kita hilang sifat untuk berjuang dalam kehidupan dunia ini juga sebenarnya adalah sifat yang terkutuk. 

Aku mulai sedar bahawa aku perlu berjuang berhabis-habisan dalam kehidupan aku di dunia ini. Aku perlu pertahankan maruah aku, harta aku, orang yang aku sayang, agama, negara dan segala-galanya yang memberi makna kepada kehidupan aku. Aku tak boleh hidup seperti tikus-tikus jantan yang mengamalkan gaya kehidupan luar tabi'i dan hilang arah tujuan hidup.

Jika aku ditakdirkan untuk bertempur dan berperang untuk mempertahankan maruah aku, aku akan lawan dan biarlah aku mati dalam peperangan daripada aku hidup menjadi pengecut. Aku lebih rela dikenang sebagai wira dan pahlawan daripada hidup sebagai manusia yang tak tahu nak tentukan arah hidup sendiri.

Aku tetap beriman kepada kehidupan akhirat. Aku percaya akan ada kehidupan yang abadi selepas hancurnya dunia yang sementara ini. Tapi, itu bukan bermaksud bahawa kehidupan di dunia ni tak penting. Kehidupan di dunia ini sememangnya penting dan kita perlukan dunia untuk dijadikan sebagai bekalan untuk kehidupan di akhirat. Adalah salah untuk lari dari kehidupan dunia ni sehingga kita tak mahu berjuang mempertahankan maruah kita.

Apa yang aku belajar dari tikus-tikus itu ialah kita mesti berjuang dalam kehidupan kita. Jangan sesekali hilang harapan dan menyerah kalah. Kalau kita menyerah kalah dengan kehidupan dunia ni, sama sahajalah kita dengan tikus-tikus 'beautiful ones' dan aku tak nak jadi macam tu. 


No comments:

Post a Comment

Rant on Agamawan dan Umat Islam di Malaysia

 Aku berbangga dengan agama aku (Islam) sebab inilah satu-satunya agama yang mempunyai sumber autentik yang sangat tinggi martabatnya kalau ...