Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Baiklah, mari kita sambung cerita pengalaman saya memohon jawatan PTD M41. Pada penulisan yang lepas, saya sudah pun cerita sehingga peringkat Peperiksaan PSEE yang mana fasa Peperiksaan PSEE ini merupakan fasa yang paling sukar.
Apabila kita sudah pun lulus Peperiksaan PSEE, calon akan mengikuti peringkat tapisan yang seterusnya seperti berikut:
1. Ujian Psikometrik
Ujian Psikometrik adalah ujian untuk menilai tingkahlaku dan integriti kita. Ujian ni nak tengok macam mana kita buat keputusan berdasarkan situasi yang diberikan dalam soalan. Soalan dalam ujian ni sangat banyak. Ada 2 set ujian yang calon perlu jawab. Set 1 terdapat 406 soalan dan set 2 pula ada 270 soalan. Calon akan menduduki ujian tersebut pada 2 tarikh yang berbeza. Keputusan ujian psikometrik ini akan keluar bersekali dengan ujian-ujian yang lain iaitu PAC, Ujian Pemeriksaan Fizikal & Kecergasan (UFK) dan Ujian Penulisan Esei Bahasa Inggeris.
2. Profession Assessment Centre (PAC)
PAC merupakan ujian pengucapan awam. PAC mempunyai 2 sesi (individu dan kumpulan). Untuk sesi individu, calon perlu memberi pengucapan awam di dalam bahasa melayu dan juga inggeris. Panel penemuduga akan memberi tajuk kepada calon dan calon perlu memberi pengucapan awam secara spontan selama tidak kurang dari 5 minit. Bagi sesi berkumpulan pula, calon-calon akan dikumpulkan dalam bilangan 10 orang 1 kumpulan dan akan diberikan tajuk untuk dibincangkan secara bersama. Secara asasnya, sesi berkumpulan ni nak lihat bagaimana calon mengembangkan idea dan bekerjasama dalam kumpulan. Tips bagi sesi berkumpulan ni kita tak boleh diam sahaja tetapi dalam pada masa yang sama jangan la pula conquer sorang je nak cakap. Kena beri peluang kepada semua orang dalam kumpulan untuk memberi pendapat.
3. Ujian Pemeriksaan Fizikal & Kecergasan (UFK)
UFK adalah ujian untuk lihat tahap kesihatan dan kecergasan calon. Calon-calon akan ditimbang berat dan diukur tinggi serta pengiraan BMI. Kemudian akan ada ujian bleep test dan lompatan jangkau (static jump). Zaman-zaman dahulu saya dengar siap ada ujian larian 2.4km dan perlu selesai dalam tempoh 15 minit bagi lelaki dan 18 minit bagi wanita. Tapi apa-apa pun, ujian ni penting untuk menilai calon cukup cergas tak untuk mengikuti DPA selama 10 bulan yang hampir setiap hari ada physical training dan juga modul-modul luar bersama polis, tentera, bomba dan juga Outward Bound School (OBS).
4. Ujian Penulisan Esei Bahasa Inggeris
Pada hari yang sama UFK dijalankan, calon akan menjalani ujian penulisan esei bahasa inggeris. Ada 2 soalan esei akan diberikan dan calon perlu selesaikan ujian dalam tempoh 1 jam. Semasa saya menjalani ujian, saya dapat soalan berkaitan food security dan international trade. Tips untuk jawab esei ni kita kena banyak ambil tahu tentang isu semasa dan luaskan pengetahuan. Dalam pada itu, grammar dan vocab tu kenalah asah sikit. Banyakkan baca article surat khabar bahasa inggeris. Insyaallah boleh jawab punya soalan-soalan tu.
Inilah dia ujian-ujian yang calon perlu hadapi selepas berjaya peringkat pertama (PSEE). Semasa zaman saya, keputusan ujian-ujian ni akan keluar 3 minggu selepas tamat ujian UFK dan esei bahasa Inggeris.
No comments:
Post a Comment