Tuesday, 20 August 2024

Rant on Agamawan dan Umat Islam di Malaysia

 Aku berbangga dengan agama aku (Islam) sebab inilah satu-satunya agama yang mempunyai sumber autentik yang sangat tinggi martabatnya kalau nak dibandingkan dengan agama-agama lain. Islam ni juga membuka ruang yang sangat luas kepada umatnya untuk berbincang dan berbahas serta berbeza pendapat terhadap perkara-perkara yang tak pernah berlaku pada zaman nabi.

Tapi, disebabkan luasnya ilmu Islam ni, golongan agamawan berpecah kepada banyak aliran pemikiran dan berbeza pendapat ke tahap yang jauh dari spektrum akal manusia kebanyakan. Kat Malaysia ni, kalau kau seorang yang celik tentang Islam, kau akan tahu kita ada beberapa aliran sebenarnya. Yang obvious dan selalu orang boleh bezakan sunni dan syiah la. Tapi sebenarnya ada lebih dari tu. Kalau kau setakat tahu sunni dan syiah je dan bagi kau sunni tu pulak cuma mazhab syafi'e, kau belum kenal lagi latar masyarakat islam di Malaysia. (tapi bagus juga, sebab orang macam ni tak berbalah sangat)..

Agamawan dekat Malaysia memang buat kerja diorang dengan baik. Bila timbul satu-satu isu, jabatan-jabatan agama negeri-negeri di Malaysia pasti akan keluarkan fatwa. Kita punya struktur organisasi Majlis Fatwa ni pun sangat hebat dan tersusun. Ahli-ahli majlis fatwa pun bukan biasa-biasa latar pendidikan diorang. 

Cuma, ikut pemerhatian aku la kan.. Orang Islam ni obses dengan perbincangan agama yang tak berkesudahan. Suka sangat debat benda yang akal tak mampu capai. Bincang tentang sifat tuhan la, nak defend tareqat ni tak sesat la, aliran W tu sesat la, kita ni kena pegang aliran Asya'irah la... Bukan tak bagus... Tapi kita ni ekstrem sangat sampai nak masukkan satu aliran je dalam undang-undang.

Relaks la bro agamawan semua. Kan kita dah secure Islam dalam perlembagaan negara ni. Tak perlu la kita nak sempitkan lagi. Semua orang faham aliran yang betul tu adalah Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Kalau kau tanya orang kebanyakan pasal doktrin aliran tertentu pun takkan mampu diorang fikir. Kau claim kita ni aliran Asya'irah, tapi kalau kau bawa ideologi Asya'irah yang tinggi tu tak mampu orang yang setakat pendidikan rendah fikir. Setakat sifat 20 tu baru introduction je dalam aliran Asya'irah. Cuba kau sembang pasal status Al-Quran tu makhluk ke bukan makhluk kat orang biasa. Belum masuk lagi ideologi sifat mustahil tuhan untuk bersifat dengan sifat baharu. Lagi fail orang kebanyakan nak faham.

Aqidah ni sepatutnya bersifat inklusif. Aqidah ni sepatutnya semua orang boleh faham... Dari seorang Profesor yang genius boleh memahami konsep metafizik sampai pesawah, petani dan nelayan. Cukup la bila dia mengaku dia Islam, tak buat benda syirik, dia saudara kita la... tak payah nak pening2.

Lepastu, cukup la kita buat benda-benda yang nabi ajar je. Kau tak payah bawak masuk Tarekat yang bukan2 ke dalam masyarakat. Siap defend pulak tu Tarekat yang bawak konsep tak masuk akal. Konsep pasal Qutub menjaga keseleruhan hal ehwal dunia? Pastu boleh pulak kau defend tarekat ni. 

Patut la banyak negara Islam ni mundur. Agamawan fokus kat tempat yang tak dapat bantu meningkatkan taraf hidup umat. Selalu sangat berbalah pasal benda yang tak membawa keuntungan kepada masyarakat sama ada keuntungan dunia mahupun akhirat. Kita ni nak bangunkan negara kita supaya boleh bersaing dengan negara lain yang hebat. Kita nak Malaysia ni jadi World Class. Jadi, golongan agamawan janganlah buat benda yang mengurung dan mengekang negara ni dari kemajuan.

Umat Islam ni kalau maju, confirm akan dijadikan contoh. Kecuali lah musuh-musuh islam yang iri dengan kita. Diorang memang nak muslimin ni mundur dan tak guna akal kita. 

Cuba kita fikir sejenak apa pencapaian kita sebagai umat Islam di peringkat dunia? Hebat ke kita?

Sunday, 2 July 2023

1 Dekad

Dalam tempoh 10 tahun, 
Dahulunya hanya seorang bayi,
Kini sedang berlari bersuka ria,
Bersama rakan di sekolah.

Dalam tempoh 10 tahun,
Dahulunya hanya seorang pria menganggur,
Kini sibuk membina negara,
Paksi kepada ibu pertiwi.

Dalam tempoh 10 tahun,
Dahulunya sebuah kampung yang riuh,
Kini penduduknya dijamah usia,
Menunggu masa pupus.

Dalam tempoh 10 tahun,
Dahulunya insan yang berjasa,
Kini sedang sakit terlantar,
Di atas tilam rumah sakit.

Ya, 10 tahun,
Tempoh perubahan fasa kehidupan manusia.

Pengalaman memohon jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) M41 (Bhg. 2)

 Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Baiklah, mari kita sambung cerita pengalaman saya memohon jawatan PTD M41. Pada penulisan yang lepas, saya sudah pun cerita sehingga peringkat Peperiksaan PSEE yang mana fasa Peperiksaan PSEE ini merupakan fasa yang paling sukar. 

Apabila kita sudah pun lulus Peperiksaan PSEE, calon akan mengikuti peringkat tapisan yang seterusnya seperti berikut:

1. Ujian Psikometrik

Ujian Psikometrik adalah ujian untuk menilai tingkahlaku dan integriti kita. Ujian ni nak tengok macam mana kita buat keputusan berdasarkan situasi yang diberikan dalam soalan. Soalan dalam ujian ni sangat banyak. Ada 2 set ujian yang calon perlu jawab. Set 1 terdapat 406 soalan dan set 2 pula ada 270 soalan. Calon akan menduduki ujian tersebut pada 2 tarikh yang berbeza. Keputusan ujian psikometrik ini akan keluar bersekali dengan ujian-ujian yang lain iaitu PAC, Ujian Pemeriksaan Fizikal & Kecergasan (UFK) dan Ujian Penulisan Esei Bahasa Inggeris.

2. Profession Assessment Centre (PAC)

PAC merupakan ujian pengucapan awam. PAC mempunyai 2 sesi (individu dan kumpulan). Untuk sesi individu, calon perlu memberi pengucapan awam di dalam bahasa melayu dan juga inggeris. Panel penemuduga akan memberi tajuk kepada calon dan calon perlu memberi pengucapan awam secara spontan selama tidak kurang dari 5 minit. Bagi sesi berkumpulan pula, calon-calon akan dikumpulkan dalam bilangan 10 orang 1 kumpulan dan akan diberikan tajuk untuk dibincangkan secara bersama. Secara asasnya, sesi berkumpulan ni nak lihat bagaimana calon mengembangkan idea dan bekerjasama dalam kumpulan. Tips bagi sesi berkumpulan ni kita tak boleh diam sahaja tetapi dalam pada masa yang sama jangan la pula conquer sorang je nak cakap. Kena beri peluang kepada semua orang dalam kumpulan untuk memberi pendapat.

3. Ujian Pemeriksaan Fizikal & Kecergasan (UFK)

UFK adalah ujian untuk lihat tahap kesihatan dan kecergasan calon. Calon-calon akan ditimbang berat dan diukur tinggi serta pengiraan BMI. Kemudian akan ada ujian bleep test  dan lompatan jangkau (static jump). Zaman-zaman dahulu saya dengar siap ada ujian larian 2.4km dan perlu selesai dalam tempoh 15 minit bagi lelaki dan 18 minit bagi wanita. Tapi apa-apa pun, ujian ni penting untuk menilai calon cukup cergas tak untuk mengikuti DPA selama 10 bulan yang hampir setiap hari ada physical training  dan juga modul-modul luar bersama polis, tentera, bomba dan juga Outward Bound School (OBS). 

4. Ujian Penulisan Esei Bahasa Inggeris

Pada hari yang sama UFK dijalankan, calon akan menjalani ujian penulisan esei bahasa inggeris. Ada 2 soalan esei akan diberikan dan calon perlu selesaikan ujian dalam tempoh 1 jam. Semasa saya menjalani ujian, saya dapat soalan berkaitan food security  dan international trade. Tips untuk jawab esei ni kita kena banyak ambil tahu tentang isu semasa dan luaskan pengetahuan. Dalam pada itu, grammar dan vocab tu kenalah asah sikit. Banyakkan baca article surat khabar bahasa inggeris. Insyaallah boleh jawab punya soalan-soalan tu.

Inilah dia ujian-ujian yang calon perlu hadapi selepas berjaya peringkat pertama (PSEE). Semasa zaman saya, keputusan ujian-ujian ni akan keluar 3 minggu selepas tamat ujian UFK dan esei bahasa Inggeris. 

Selepas berjaya ujian-ujian yang saya sebut di atas, barulah calon akan dipanggil ke peringkat yang seterusnya iaitu temuduga. Mengikut cerita yang diberitahu kepada saya hanya 1,000 daripada 4,000 calon sahaja yang berjaya mara ke peringkat temuduga. Apa-apa pun, buatlah yang terbaik dalam apa yang kita usahakan. Insyaallah, kalau kita dah usaha, ada peluang yang tinggi untuk berjaya.

Sekian, saya akan sambung sesi temuduga pada entri yang lain... 😄

Monday, 1 May 2023

Pengalaman memohon jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) M41 (Bhg. 1)

 Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) merupakan satu kerjaya yang menjadi idaman ramai rakyat Malaysia. Setiap kali jawatan ini dibuka untuk permohonan, bilangan yang memohon sentiasa melepasi angka 100k. Jadi, pada entri kali ini saya akan kongsikan serba sedikit pengalaman saya memohon jawatan PTD sehinggalah berjaya mendapat panggilan mengikuti Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA).

1. SPA9

Permohonan jawatan PTD M41 boleh dibuat melalui portal SPA9. Semasa zaman saya, portal SPA9 lah satu-satunya platform untuk kita memohon jawatan dengan kerajaan (Sektor Awam). Setelah anda buka portal SPA9, buatlah pendaftaran pengguna dan isi segala maklumat yang dikehendaki. 


2. Kelayakan

Jawatan PTD M41 meletakkan syarat kelayakan kepada pemohon. Antara syarat utama yang perlu dipenuhi oleh pemohon ialah mestilah seorang warganegara Malaysia. Belum pernah lagi warganegara selain Malaysia boleh diterima masuk menjadi penjawat awam. Selain itu, pemohon mestilah mempunyai taraf pendidikan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda (Bachelor Degree). Sesiapa yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi daripada degree (Master atau PhD), lebih bagus. Bagi kelayakan umur pula, pemohon mestilah berusia lebih daripada 18 tahun. Semua maklumat ini anda boleh dapatkan di laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

3. Ujian / Peperiksaan

Setelah anda selesai membuat permohonan melalui portal SPA9, tunggulah sehingga anda mendapat panggilan untuk menduduki peperiksaan online memasuki perkhidmatan awam (PSEE) melalui e-mel. Kalau tak dapat e-mel, maksudnya anda tak berjaya. 

Saya dapat panggilan untuk menduduki peperiksaan online PSEE pada 1 Julai 2021. Jika lihat pada e-mel yang saya dapat di atas, peperiksaan tersebut terbahagi kepada 3 seksyen (Pengetahuan Am, Daya Menyelesaikan Masalah dan Kefahaman Bahasa Inggeris). Untuk Pengetahuan Am ni, seeloknya anda belajar atau ulangkaji subjek Pengajian Am STPM sebab ianya sangat membantu. Pengetahuan Am ni meliputi banyak perkara antaranya mengenai Perlembagaan Malaysia, isu-isu serantau (ASEAN dan Antarabangsa, ada soalan berkaitan perjanjian yang Malaysia telah memeterai dengan negara lain), geografi (ada soalan berkaitan negara dan benua, gunung tertinggi di Malaysia) dan macam-macam lagi.

Untuk Daya Menyelesaikan Masalah pula, ini adalah ujian matematik. Soalan yang dikeluarkan kebanyakannya adalah tahap PT3 dan SPM. Jadi sebelum menduduki peperiksaan, elok sekiranya anda ulangkaji balik subjek Matematik PT3 dan SPM. Ada 40 soalan yang perlu diselesaikan dalam masa 45 minit. Jadinya, anda perlulah cekap selesaikan soalan-soalan matematik tersebut dan jangan lupa guna kalkulator saintifik yang kita guna masa sekolah menengah dahulu!

Seksyen Kefahaman Bahasa Inggeris pula menguji penguasaan Bahasa Inggeris Calon. Format soalan selalunya berbentuk artikel di dalam Bahasa Inggeris dan kemudiannya diikuti dengan beberapa soalan tatabahasa, vocabulary dan makna sinonim atau antonim. Jadinya, banyakkanlah membaca dan luaskan pengetahuan Bahasa Inggeris.

Setelah selesai menduduki peperiksaan, keputusan akan dikeluarkan dalam tempoh 2 minggu selepas peperiksaan berlangsung. Berdasarkan kes saya, keputusan peperiksaan yang saya telah ambil keluar pada 22 Julai 2021.

Segala Puji bagi Allah, saya telah lulus Peperiksaan PSEE ni. Untuk pengetahuan, Peperiksaan PSEE inilah yang betul-betul menapis calon untuk layak ke peringkat seterusnya. Ramai calon yang kandas pada fasa Peperiksaan PSEE. Jika tak silap saya, saya pernah mendengar bahawa hanya 4k calon sahaja yang akan lulus Peperiksaan PSEE. Bayangkan jumlah pemohon adalah lebih 100k, maknanya kadar kelulusan hanya sekitar 4%. 

Ada juga orang yang menjual buku soalan-soalan dan silibus berkaitan Peperiksaan PSEE yang lepas. Saranan saya, belilah buku tersebut. Tak salah nak melabur sedikit supaya kita lebih bersedia untuk lulus peperiksaan yang susah ni. Tapi kalau tak berjaya juga walaupun dah beli buku tersebut, janganlah pula marah. Terimalah dengan hati terbuka bahawa ini bukan rezeki kita.

Sampai sini dahulu coretan kali ini. Fasa-fasa yang seterusnya akan ditulis pada bahagian-bahagian yang seterusnya. 😁



Friday, 28 April 2023

Industri Iklan

 Setelah sekian lama, hari ini aku nak tulis pasal industri iklan di Malaysia. Industri ni bernilai berbilion ringgit. Antara platform-platform yang masyhur untuk iklan ni termasuklah TV, radio, billboard, laman web dan media sosial. 

Iklan ni tak lain tak bukan bertujuan untuk mempromosikan produk kepada pengguna. Produk yang selalu aku dengar bila dengar radio bila musim raya ni tak lain tak bukan 'Bulan Bintang'. Dulu baju tak payah gosok 'Sabella'. Tak kurang juga selalu keluar di kaca TV dan corong radio ialah produk kesihatan macam 'Jus Nusantara', 'D'Herbs', 'Qu Puteh' dan macam-macam lagi. Iklan pasal pelaburan lagi lah selalu ulang-ulang macam 'Dato' Dr. Nazri Khan'. Termasuklah juga bisnes yang nak ajar orang cara 'Bisnes Yang Sebenar (BYS)' macam 'Najib Assadok' & 'Azizan Osman'.

Hari ni aku tak nak sembang pasal 'the nature of their business', aku cuma nak bagitahu industri iklan kat Malaysia bernilai bilion ringgit.

Mari sini aku tunjuk hasil syarikat media arus perdana yang 'public listed'. Hasil daripada iklan menyumbang secara signifikan kepada jumlah hasil mereka. 


1. Media Prima Berhad [Hasil Iklan (2021): RM745 Juta]

Sumber: Laporan Tahunan Media Prima Berhad, 2021

2. ASTRO Malaysia Holdings Berhad [Hasil Iklan (2021): RM400 Juta]
 
Sumber: Laporan Tahunan ASTRO Malaysia Holding Berhad, 2022

Aku cuma nak share public listed company je. Aku tak nak cerita pasal 'RTM' yang merupakan media milik kerajaan. Dua syarikat ni je jumlah hasil dari iklan dah RM1.1 bilion. Tu belum kira syarikat-syarikat lain yang private dan juga platform-platform media sosial dan billboard.

Iklan ni sudah pasti ada elemen tokok tambah. Mustahil iklan cuma cerita perkara yang betul. Kalau nak lariskan produk, diorang akan claim macam-macam. Tak boleh nak salahkan media sebab iklan ni sumber pendapatan diorang. Jadinya, sebelum kita kena tipu dengan iklan, kita sendiri yang kena bijak. Haha sekian rant hari ni.

Monday, 20 September 2021

Tikus-tikus Universe 25

 Aku tertarik dengan eksperimen Universe 25 yang dibuat oleh John B. Calhoun buat ketika ini. Semenjak dua menjak ini aku asyik memikirkan tentang eksperimen tikus ni dan aku bandingkan dengan kehidupan aku. Walaupun tikus dan manusia adalah makhluk yang sangat berbeza, namun, aku merasakan banyak pengajaran yang aku boleh dapat dari makhluk kecil yang sinonim dengan kehidupan yang kotor tu.

Universe 25 menunjukkan bahawa sesebuah ketamadunan itu akan jatuh. Kehidupan yang sempurna akan berakhir dengan kehancuran yang dilakukan oleh masyarakat di dalam tamadun itu sendiri. Aku tak perlu cerita apa yang berlaku dalam Universe 25 tu sebab korang boleh google sendiri dan dekat Youtube pun ada banyak video penjelasan pasal eksperimen tu.

Cumanya apa yang membuatkan aku ingin tulis dekat blog aku ni setelah 2 tahun aku tak bukak blog ni adalah disebabkan oleh cara aku berfikir sebelum ini. Aku pernah berfikir bahawa kehidupan di dunia ni adalah sementara dan tidak akan memberi kebahagiaan yang kekal. Maka, mulalah aku membawa falsafah kehidupan yang zuhud dan tak mahu mengejar dunia.

Bila aku fikir balik, gaya pemikiran zuhud dan pasif kepada dunia membuatkan aku ni sama sahaja dengan tikus jantan yang digelarkan sebagai 'beautiful ones' yang mana tikus-tikus jantan ni hilang kemahuan untuk mempertahankan kawasan dia dan hilang nafsu untuk mengawan bersama tikus-tikus betina yang lain. Apa yang penting bagi 'beautiful ones' ni ialah sekadar mempunyai makanan yang cukup dan tempat untuk berehat. 

Eksperimen ni membuatkan aku tersentak dan merasakan bahawa falsafah kehidupan yang pasif kepada dunia sebenarnya salah dan akan membawa kehancuran kepada ketamadunan. Betul, sifat zuhud iaitu tidak mencintai kehidupan dunia itu adalah sifat yang mulia. Tapi, jika kita hilang sifat untuk berjuang dalam kehidupan dunia ini juga sebenarnya adalah sifat yang terkutuk. 

Aku mulai sedar bahawa aku perlu berjuang berhabis-habisan dalam kehidupan aku di dunia ini. Aku perlu pertahankan maruah aku, harta aku, orang yang aku sayang, agama, negara dan segala-galanya yang memberi makna kepada kehidupan aku. Aku tak boleh hidup seperti tikus-tikus jantan yang mengamalkan gaya kehidupan luar tabi'i dan hilang arah tujuan hidup.

Jika aku ditakdirkan untuk bertempur dan berperang untuk mempertahankan maruah aku, aku akan lawan dan biarlah aku mati dalam peperangan daripada aku hidup menjadi pengecut. Aku lebih rela dikenang sebagai wira dan pahlawan daripada hidup sebagai manusia yang tak tahu nak tentukan arah hidup sendiri.

Aku tetap beriman kepada kehidupan akhirat. Aku percaya akan ada kehidupan yang abadi selepas hancurnya dunia yang sementara ini. Tapi, itu bukan bermaksud bahawa kehidupan di dunia ni tak penting. Kehidupan di dunia ini sememangnya penting dan kita perlukan dunia untuk dijadikan sebagai bekalan untuk kehidupan di akhirat. Adalah salah untuk lari dari kehidupan dunia ni sehingga kita tak mahu berjuang mempertahankan maruah kita.

Apa yang aku belajar dari tikus-tikus itu ialah kita mesti berjuang dalam kehidupan kita. Jangan sesekali hilang harapan dan menyerah kalah. Kalau kita menyerah kalah dengan kehidupan dunia ni, sama sahajalah kita dengan tikus-tikus 'beautiful ones' dan aku tak nak jadi macam tu. 


Thursday, 10 October 2019

Pengangguran.

Ramai yang menganggur. Ramai juga yang sudah bekerja tapi sebenarnya kerja yang dia buat tak sepadan dengan kelulusan yang dia ada.

Pada pendapat saya la, sambung belajar dan masuk ke universiti pada zaman ini bukan lagi satu jaminan apabila kita keluar kita akan dapat kerja. Dengan kadar pertumbuhan ekonomi sekitar 4-5% yang nampak macam cantik tapi sebenarnya tersimpan seribu cerita disebalik angka tersebut, tambah lagi dengan kerenah faktor-faktor lain yang menyebabkan kos aktiviti ekonomi menjadi lebih mahal, tak ada apa yang kita boleh harapkan tentang peluang pekerjaan.

Saya lihat ramai lepasan universiti membuat pekerjaan servis menghantar makanan. Ada baik dan ada buruknya. Yang baiknya, paling tidak dia ada pendapatan. Yang buruknya, kerja yang dia buat tu tak sepadan dengan kelulusan yang dia ada. Kerja menghantar makanan ni tak perlu kelulusan yang tinggi pun. Siapa sahaja boleh buat kerja tersebut. Jadinya, bila dah ramai sangat yang daftar nak jadi rider penghantar makanan, timbullah masalah kepada syarikat penghantar makanan tersebut. Mereka perlu membuat sistem penggajian yang baru. Pada saya, lepasan universiti tak patut buat kerja penghantaran makanan, sebab diorang over-qualified. Jadi, berilah pekerjaan tersebut kepada golongan yang lebih layak.

Memang betul, kita masuk universiti dan buat degree bukan sebab untuk pekerjaan tapi sebenarnya untuk dapatkan ilmu. Tapi itu tidak bermakna ianya menjadi tiket untuk kita boleh pilih kerja sewenang-wenangnya. Lepasan universiti sepatutnya menjadi seorang yang mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain. Lepasan universiti sepatutnya berani menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan. Itulah tanggungjawab sebagai orang yang berilmu. Tak salah menjadi penghantar makanan, tapi lebih elok kalau kita jadi tauke syarikat penghantar makanan.

Struktur masyarakat kita masih banyak kelemahan. Anak muda struggle nak bina kehidupan. Ada yang buat 3 kerja semata-mata nak kahwin (baguslah tu). Tapi ada juga yang buat personal loan semata-mata nak kahwin (memang kahwin itu baik tapi kalau dah sampai berhutang sebab nak kahwin, ada masalah dalam struktur masyarakat kita).

Kita kena jadi orang yang berani ambil risiko dan lebih kreatif dalam menceburi bidang perniagaan. Itu sahaja penyelesaian kepada masalah pengangguran. Masyarakat pula perlulah memberi sokongan kepada golongan muda. Support bisnes2 anak muda. Kerajaan pula mestilah suntik semangat dan beri galakan kepada golongan anak muda khususnya lepasan universiti untuk menceburi bidang perniagaan. Jika kita masih duduk di takuk yang sama, tiada mentaliti untuk menjadi juara, habislah negara.

KITA MESTI BERANI!

Rant on Agamawan dan Umat Islam di Malaysia

 Aku berbangga dengan agama aku (Islam) sebab inilah satu-satunya agama yang mempunyai sumber autentik yang sangat tinggi martabatnya kalau ...