Saturday, 31 March 2018

MALAYSIA BIKE WEEK 2018

23-25 March 2018
Serdang - Satu program mega yang bernama Malaysia Bike Week 2018 telah berlangsung di MAEPS, Serdang, Selangor. Terdapat pelbagai tarikan yang terdapat di festival tersebut. Festival ini berkonsepkan 'permotoran'. Antara tarikan yang ada semasa festival tersebut adalah seperti koleksi kenderaan Sultan Johor, koleksi motorsikal dengan enjin berkapasiti besar seperti harley davidson, royal enfield, ducati, honda dan yamaha.

Saya tidak melepaskan peluang untuk melawat festival tersebut. Terdapat cabutan bertuah di festival tersebut di mana ia menawarkan 40 buah motorsikal Yamaha Y15ZR untuk dimenangi.

 
Video tentang beberapa rakaman yang sempat saya ambil semasa melawat Malaysia Bike Week 2018

Sunday, 18 March 2018

Pemikiran yang masih ketinggalan

Saya masih rasa kecewa dan tidak berpuas hati apabila kebanyakan masyarakat Melayu masih lagi berbicara tentang perkara yang tak logik. Kita terlalu banyak barcakap dan taksub dengan perkara 'ghaib' sehinggakan kita jauh ditinggalkan oleh masyarakat yang ada di negara maju.

Tidak dinafikan, latar belakang masyarakat Melayu Islam di Malaysia ini ialah beragama atau dalam istilah inggerisnya; "religious". Kita mempercayai tentang perkara yang tak boleh dibuktikan dengan mata kasar atau dalam istilah arabnya; "ghaib". Namun perkara ghaib ini cukuplah sekadar mempercayai rukun iman sahaja. Tak perlulah taksub sehingga mempercayai bahawa air yang telah dijampi mampu mengubat 1001 penyakit termasuk penyakit 'down syndrome'.

Saya rasa sedih apabila melihat masyarakat kita yang terlalu percaya dan takut dengan jin dan hantu. Tak dinafikan masyarakat melayu ini amat handal dalam mengamalkan ilmu hitam sehingga boleh buat orang muntah darah hanya dengan meniup ke patung buatan atau bekas kemenyan yang telah diletak gambar orang yang menjadi sasaran. Tapi, inilah yang dikatakan sebagai perbuatan yang bodoh. Kita terlalu taksub dengan perkara seperti ini. Akibatnya, kita langsung tak mampu menghasilkan teknologi yang canggih seperti negara German, China, Jepun dan Amerika kerana pemikiran kita kurang ke arah bidang teknologi ini.

Dalam bab agama pula, kita masih dangkal dalam memahami sumber agama. Kebanyakannya menganut fahaman taqlid buta tanpa mengkaji asal usul sesuatu hukum. Kita terlalu taksub dengan mazhab "Syafie" kita sehinggakan tak sedar bahawa dalam ilmu fekah itu terdapat banyak mazhab yang berbeza pendapat tentang sesuatu hukum. Bila berbicara tentang perkara yang lain sikit daripada norma fahaman agama masyarakat ini mulalah aktiviti pelabelan 'wahabi' mula dilakukan tanpa berdikusi atau berbahas tentang perkara tersebut.

Bila berbicara tentang perjuangan, masyarakat kita lah nombor satu dalam melaungkannya. Kita terpekik terlolong dalam mempertahankan hak kita sebagai tuan kepada tanah ini. Tak dinafikan kita memang berhak ke atas tanah ini jika nak dibandingkan dengan bangsa yang lain. Tapi janganlah prinsip perjuangan kita itu tenggelam dengan salah laku atau jenayah yang dilakukan oleh seorang pemimpin. Di mana nilai perjuangan kita?

Kita sangat jauh dalam penerapan budaya berbahas secara bijaksana. Kita sangat jauh ketinggalan. Kita banyak sanagt berfikir tentang perkara yang tak logik. Ya, memang benar bahawa Islam membawa rukun Iman yang mana kita wajib percaya tentang perkara yang "ghaib". Namun, cukuplah sekadar apa yang kita percaya itu disandarkan kepada Al-Quran dan Hadis sahih Nabi S.A.W. Tak perlulah kita taksub dengan perkara yang tiada dalam sumber utama dalam perundangan Islam itu. Jangan;ah pula kita ikit membabi buta sahaja apa yang disebut oleh seseorang tanpa memeriksa asal-usulnya. 

Kita mestilah ubah gaya pemikiran kita. Jika kita mahu menjadi negara maju, maka pemikiran kita mestilah diasaskan dengan logik. Perkara yang tak logik itu perlu ditinggalkan tanpa ragu-ragu lagi seperti mempercayai bahawa kismis pak ustad mampu merawat kebodohan.

Friday, 9 March 2018

Membuat keputusan yang RUMIT dan UKM!

Dalam kehidupan kita ini, akan tiba satu masa dimana kita akan berhadapan dengan ujian, cabaran, masalah dan ranjau. Ketika itulah kita merasakan bahawa kita berada di tempat yang paling bawah dalam kehidupan kita. Kita merasakan bahawa semua perkara pada ketika itu serba tak kena dan tidak menyokong langsung kehidupan kita. 

Saya juga pernah merasai saat itu. Saat dimana saya berada dalam kemurungan; tidak gembira dengan hidup.

Itulah masa ketika saya sedang melanjutkan pelajaran saya di University of Toronto. Untuk makluman, saya mendapat tawaran MARA untuk melanjutkan pelajaran saya dalam bidang Ekonomi pada September 2016 setelah saya melepasi syarat akademik yang ditetapkan oleh MARA. Semua orang mengandaikan bahawa belajar di luar negara terutama di negara 4 musim seperti US, Canada, UK atau Australia itu seronok. Begitu juga saya, saya mengandaikan bahawa orang akan memandang tinggi terhadap saya jika saya belajar di luar negara.

Gambar saya dan rakan seperjuangan di University of Toronto. Ini adalah kenangan salji lebat yang pertama. Bangunan di belakang adalah bangunan University College; salah sebuah college di University of Toronto.

Saya masih ingat bahawa saya berangkat ke Toronto, Canada pada 6 September 2016 dan tidak lama selepas itu pada 12 September 2016 saya menyambut hari kemenangan umat Islam iaitu Hari Raya Aidiladha.

Gambar saya ketika Hari Raya AidilAdha 2016 di University of Toronto.

Pada awalnya, saya sangat bersemangat melanjutkan pelajaran saya dalam mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian di University of Toronto. Bersemangatnya saya pada ketika itu sehinggakan banyak duit digunakan untuk membeli buku dan alatan untuk membantu saya belajar. Untuk sebulan yang pertama, saya tidak mengalami masalah dalam pelajaran di sana malahan untuk ujian-ujian pertengahan semester saya mendapat markah yang cemerlang.

Hidup di Toronto adalah seronok sebenarnya. Tempatnya sejuk dan berangin. Tidak seperti Malaysia yang panasnya boleh mencecah 35 darjah celsius pada waktu tengahhari dengan keadaan seperti tiada angin yang bergerak. Di Toronto juga keadaannya sangat menggalakkan orang untuk berjalan kaki dan berbasikal. Apabila bersukan, saya jarang berpeluh walaupun membuat pergerakan seperti berlari dan melompat.

Namun, semangat yang tinggi menjulang itu akhirnya jatuh menjunam. Saya yang sentiasa menhadirkan diri ke kuliah sudah mula ponteng. Untuk makluman, di U of T tiada sistem untuk mengambil kehadiran ke kuliah. Mereka sangat terbuka dalam hal tersebut. Tidak seperti Universiti-Universiti di Malaysia yang akan mengambil rekod kehadiran pelajar ke kuliah. 

Jikalau ditanya kepada saya adakah saya mempunyai rakan 'Canadian', saya akan menjawab tidak. Itulah kesilapan saya yang tidak bergaul dengan orang di sana. Ya, saya mengaku bahawa saya silap dalam perkara tersebut. Ini mungkin kerana saya mempunyai sifat yang tidak mesra dengan orang. Tambahan pula, saya menyewa rumah di luar kampus dan tinggal bersama rakan seperjuangan saya yang berasal dari Malaysia juga. Namun, bukanlah saya tidak mahu tinggal di kolej kediaman yang ada di U of T, tetapi kadar sewa bilik yang begitu mahal yang menyebabkan saya tidak mampu untuk tinggal di dalam kampus.

Saya tidak nafikan bahawa saya tidak langsung merasai pengalaman budaya sebagai pelajar universiti yang ada di U of T kerana saya tinggal di luar kampus. Yang saya hanya lakukan hanyalah datang ke kuliah dan kelas tutorial semata-mata. Ya, saya silap juga dalam kes ini kerana saya yang malas untuk mengikuti dan mencari program-program yang ada di university. Ini kerana saya merasakan bahawa ada dinding penghalang yang menyebabkan saya rasa bahawa saya kerdil dan lemah di sana, saya merasakan bahawa saya tidak dimaksudkan untuk berada di situ.

Saya merasakan bahawa saya keseorangan di sana. Benar, saya ada rakan-rakan Malaysia di sana namun saiz komunitinya sangat kecil dan saya berasa tidak selesa untuk berkongsi masalah yang saya ada bersama mereka. Saya tidak pernah mengalami masalah ini ketika di Malaysia. Ini kerana di Malaysia, saya tidak rasa diri saya kerdil atau lemah malah saya mempunyai keyakinan yang tinggi. Biasalah, tempat di mana tumpahnya darah kita, tempat membesar kita, tempat yang mana orangnya sebangsa dan sebahasa dengan kita, tempat yang sentiasa ada orang yang akan dukung dan sokong kita; takkan mungkin kita akan rasa lemah. Namun, di negara orang permainannya berbeza wahai saudaraku! Tiada siapa peduli tentang diri anda, tiada siapa mahu memulakan perbualan dengan anda, tiada siapa akan bantu anda.

Gambar tentang 'low self-esteem'. Diambil daripada Quora.

Bertambah pula dengan tragedi di mana pada suatu hari; hari pertama saya mengalami salji; saya kehilangan telefon (iPhone SE) semasa saya membeli daging ayam untuk bekalan memasak. Telefon hilang di dalam kedai daging tersebut kerana mungkin ada pencuri saku. Tuhan sahajalah yang tahu betapa ralatnya saya pada ketika itu selepas saya dapat tahu akan kehilangan telefon tersebut.

Ramai orang menyangka bahawa musim sejuk itu seronok dan menyeronokkan. Benar, ia seronok. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk berseronok ketika salji turun. Ia memang merupakan saat yang seronok namun hanya untuk beberapa minggu yang pertama sahaja. Hidup di musim sejuk memerlukan kekuatan mental yang tinggi! Sebagai orang yang tidak pernah mengalami musim ini, saya telah tersilap menilai akan bahana musim sejuk ini. Ia merupakan musim di mana hari siangnya mendung (waktu siangnya singkat), sejuknya sampai ke tulang, memerlukan anda untuk memakai baju yang berlapis-lapis ditambah lagi dengan angin yang bertiup kencang (saya tidak pernah merasakan angin yang sekencang ini di Malaysia malah setelah saya pulang ke Malaysia saya merasakan bahawa Malaysia adalah negara yang tiada angin bertiup langsung). Ia mampu merosakkan perasaan positif anda dalam sekelip mata. Tidak hairanlah ramai yang mengambil keputusan untuk bunuh diri ketika musim sejuk. *Musim sejuk juga adalah waktu di mana banyak gelandangan akan mati kerana kesejukan.
 
Perkara ini berlanjutan sehingga bulan Februari 2017. Pada ketika ini, saya berfikir secara mendalam akan apa masa hadapan saya di Toronto jika saya berterusan berada dalam keadaan yang teruk ini; Tempat di mana saya tiada keyakinan diri. Adakah saya perlu menghadapi masalah ini untuk 4 tahun lagi? Adakah saya sanggup melihat diri saya gagal dalam perjalanan untuk mendapatkan ijazah? Persoalan ini sering bermain di fikiran saya sehinggalah akhirnya saya membuat keputusan yang sememangnya mengubah kehidupan saya. Saya mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia dan menyambung pelajaran saya di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Saya pulang ke Malaysia pada 1 Jun 2017 dan tidak lama selepas itu saya menghadiri temuduga untuk kemasukan ke UKM sesi 2017-2018 pada 3 Jun 2017. Pada bulan Ogos 2017 saya telah mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di UKM dan sekarang saya bangga kerana merupakan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang sangat sesuai dengan jiwa saya!

Monday, 5 March 2018

Perspektif saya terhadap cinta

Setiap manusia mempunyai perasaan suka, marah, sayang, dengki, cemburu, sedih dan sebagainya. Berbicara tentang cinta, ia adalah satu perasaan yang memberi erti yang sangat dalam. Dalamnya perkataan cinta ini sehinggakan ia mampu membuat orang menjadi rindu, menjadi bahagia, menjadi murung, menjadi cemburu, menjadi marah, menjadi kecewa dan mampu mengubah jalan cerita dalam kehidupan seorang insan.

Saya sering melihat pasangan "bercinta". Ia bermula dengan perasaan suka. Betullah konsep 'bertepuk sebelah tangan tak berbunyi'. Ia memerlukan respon dari kedua-dua belah pihak. Kita tak boleh memaksa orang untuk suka kita kerana perasaan manusia itu lahir secara semula jadi dan bukannya dibuat-buat.

Cinta mempunyai pasang dan surut. Ada ketika kita merasa sayang dan ada ketika perasaan sayang itu menjadi pudar mungkin disebabkan tertarik dengan orang lain atau tidak mampu memberi komitmen kepada pasangan. Ketika permulaan percintaan, sesetengah pasangan tak boleh berpisah, sentiasa mahu bersama, rindu walaupun baru berpisah selama 3 minit. Senang cerita, ketika permulaan percintaan, semua benda nampak bahagia. Tetapi apabila percintaan itu sudah lama, mulalah timbul pelbagai konflik, tiada lagi perasaan sayang kepada pasangan.

Kes perceraian di Malaysia ini melihatkan angka yang sangat banyak. Setiap hari banyak pasangan bercerai. Pasangan yang dahulunya bercinta bagaikan mereka berdua sahajalah yang paling bahagia di dunia ini tetapi akhirnya setelah berkahwin dan mendirikan rumah tangga mereka bercerai. 

Pada perspektif saya, cinta tidak kekal lama. Perasaan suka itu sementara. Ia akan pudar dan kemudiannya bertukar menjadi bosan seterusnya boleh menimbulkan perasaan meluat dan benci pula. Itulah yang berlaku dalam perkahwinan. Sememangnya perkahwinan itu hanya kekal bukan kerana cinta terhadap pasangan tetapi sejauh mana pasangan itu bertanggungjawab terhadap rumah tangga yang dibina. Kalau nak cakap pasal suka, perlu diingat bahawa kita akan sentiasa tukar perkara yang kita suka. Manusia sentiasa menukar selera. Pada saya, anak-anak sahajalah sebab untuk meneruskan perkahwinan kerana mereka memerlukan penjaga, pendidik, pemberi nafkah dan kasih sayang. 

Sesungguhnya menjadi orang yang bertanggungjawab itu susah. Ia memerlukan komitmen kita. Dalam dunia ini ramai orang yang tak bertanggungjawab kerana mereka tak kenal pun siapa diri mereka sendiri. Tak hairanlah mengapa kita dapat melihat banyaknya kes perceraian yang berlaku. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah wanita. Mereka akan kecewa, murung, sedih, hampa, duka dan tiada tempat bergantung lagi. Wanita mendapat kesan yang lebih teruk berbanding lelaki kerana wanita itu bersifat memerlukan tempat untuk bergantung. Berbeza dengan lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung.

Kesimpulannya apa yang ingin saya katakan adalah tiada percintaan yang benar sesama manusia. Yang ada hanyalah sejauh mana kita ini mempunyai sifat bertanggungjawab.

Sunday, 4 March 2018

PARLIMEN MAHASISWA UKM 2018

Pada 3 dan 4 Mac 2018, Parlimen Mahasiswa UKM telah bersidang di Bilik Senat, Bangunan Canselori UKM. Saya turut bersidang dalam parlimen ini bagi mewakili KOR SUKSIS UKM. 

Parlimen Mahasiswa UKM ini merupakan satu medium untuk membicarakan isu-isu mahasiswa di UKM. Persidangan ini diwakili oleh Majlis Perwakilan Pelajar UKM, YDP-YDP Persatuan yang wujud di UKM, YDP-YDP Badan Beruniform di UKM, Ketua Eksekutif Kolej-kolej Kediaman di UKM, YDP-YDP Persatuan Fakulti dan YDP-YDP Kelab. 

Parlimen mahasiswa 2018 terbahagi kepada 2 perbahasan iaitu perbahasan lisan dan perbahasan bertulis. Terdapat 4 sidang sepanjang ianya berlangsung di mana 3 sidang membincangkan perbahasan bertulis dan 1 sidang membincangkan perbahasan lisan.

Persidangan parlimen pada tahun ini dirasmikan oleh YBhg Tan Sri Dato Sri Abdul Aziz bin Abdul Rahman, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK). Di dalam ucapan perasmiannya, beliau mengharapkan di dalam persidangan parlimen ini agar akan ada usul yang membicarakan tentang kesediaan mahasiswa dalam menempuh dunia yang semakin mencabar ini terutamanya dalam bidang teknologi kerana dunia kini dikejutkan dengan Revolusi Perindustrian yang ke-4.


Gambar saya ketika membuat penggulungan usul bagi Badan Beruniform UKM di Parlimen Mahasiswa UKM 2018. 

Friday, 2 March 2018

Rant tentang teknologi masa kini

Jika kita imbas 10 tahun yang lepas, kita dikejutkan tentang pelancaran telefon pintar daripada syarikat Apple. Steve Jobs telah pun melancarkan iPhone yang pertama pada 2007. Bermula daripada situ, perubahan dalam dunia teknologi telah berlaku dengan begitu pesat. Telefon kini mempunyai pelbagai fungsi bukan lagi sekadar membuat panggilan tetapi menangkap gambar, melayari media sosial, mendengar lagu, mencari maklumat menggunakan enjin pencarian, bermain 'game', memberi navigasi dan sebagainya. Semua perkara ini dilakukan dengan sekadar menyentuh paparan telefon.

Zaman sekarang ini sangatlah berbeza berbanding 10 tahun yang lepas. Kita boleh lihat penggunaan media sosial telah mengubah kehidupan seluruh umat manusia di atas muka bumi ini dengan begitu ketara sekali. Perkara yang berlaku di sesebuah tempat yang beribu batu jauhnya daripada tempat kita boleh ditularkan sehingga satu dunia boleh lihat. Nak jadi terkenal tak perlu lagi keluar di stesyen tv tapi cukup dengan buat video yang boleh menarik perhatian orang dan muat naik ke media sosial. Begitu mudah pada zaman ini nak jadi terkenal.

Urusan perniagaan pun sekarang sudah berubah. Kita dah tak perlu memegang tunai untuk membeli barang dan tak perlu lagi keluar rumah untuk ke pasaraya. Cukup dengan menggunakan platform 'online shopping', barang yang berada di hujung dunia pun kita boleh beli dan sampai ke pintu rumah kita dalam tempoh yang singkat. Kalau nak dibandingkan dengan situasi 50 tahun lepas, perkara macam ni tak pernah terlintas pun difikiran manusia pada masa itu.

Walaupun dengan adanya teknologi yang maha canggih pada masa ini, tak boleh dinafikan jenayah pun semakin mudah untuk berlaku. Zaman sekarang ni hampir semua orang ada komputer riba dan telefon pintar. Jadi, sesiapa sahaja boleh melihat kita melalui kamera yang ada di telefon pintar tanpa kita sedari. Contoh yang paling mudah yang kita boleh tengok macam dalam cerita fast 7; 'God's eye' iaitu satu software yang boleh mengaktifkan telefon seseorang tanpa orang itu sedar untuk mengesan keberadaan seseorang.

Selepas ini mungkin kita akan lihat 'kereta pintar' yang mana kereta tak perlukan pemandu untuk bergerak. 'Rumah pintar' yang mana semua peralatan elektronik rumah seperti mesen basuh, pendingin hawa, lampu, pagar elektronik, dapur elektronik dan paip air boleh dikawal dengan menggunakan telefon sahaja. Mungkin kita dah tak perlukan bangunan sekolah untuk bersekolah. Kita boleh belajar di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Inilah 'future' wahai saudaraku!

Rant on Agamawan dan Umat Islam di Malaysia

 Aku berbangga dengan agama aku (Islam) sebab inilah satu-satunya agama yang mempunyai sumber autentik yang sangat tinggi martabatnya kalau ...