Monday, 5 March 2018

Perspektif saya terhadap cinta

Setiap manusia mempunyai perasaan suka, marah, sayang, dengki, cemburu, sedih dan sebagainya. Berbicara tentang cinta, ia adalah satu perasaan yang memberi erti yang sangat dalam. Dalamnya perkataan cinta ini sehinggakan ia mampu membuat orang menjadi rindu, menjadi bahagia, menjadi murung, menjadi cemburu, menjadi marah, menjadi kecewa dan mampu mengubah jalan cerita dalam kehidupan seorang insan.

Saya sering melihat pasangan "bercinta". Ia bermula dengan perasaan suka. Betullah konsep 'bertepuk sebelah tangan tak berbunyi'. Ia memerlukan respon dari kedua-dua belah pihak. Kita tak boleh memaksa orang untuk suka kita kerana perasaan manusia itu lahir secara semula jadi dan bukannya dibuat-buat.

Cinta mempunyai pasang dan surut. Ada ketika kita merasa sayang dan ada ketika perasaan sayang itu menjadi pudar mungkin disebabkan tertarik dengan orang lain atau tidak mampu memberi komitmen kepada pasangan. Ketika permulaan percintaan, sesetengah pasangan tak boleh berpisah, sentiasa mahu bersama, rindu walaupun baru berpisah selama 3 minit. Senang cerita, ketika permulaan percintaan, semua benda nampak bahagia. Tetapi apabila percintaan itu sudah lama, mulalah timbul pelbagai konflik, tiada lagi perasaan sayang kepada pasangan.

Kes perceraian di Malaysia ini melihatkan angka yang sangat banyak. Setiap hari banyak pasangan bercerai. Pasangan yang dahulunya bercinta bagaikan mereka berdua sahajalah yang paling bahagia di dunia ini tetapi akhirnya setelah berkahwin dan mendirikan rumah tangga mereka bercerai. 

Pada perspektif saya, cinta tidak kekal lama. Perasaan suka itu sementara. Ia akan pudar dan kemudiannya bertukar menjadi bosan seterusnya boleh menimbulkan perasaan meluat dan benci pula. Itulah yang berlaku dalam perkahwinan. Sememangnya perkahwinan itu hanya kekal bukan kerana cinta terhadap pasangan tetapi sejauh mana pasangan itu bertanggungjawab terhadap rumah tangga yang dibina. Kalau nak cakap pasal suka, perlu diingat bahawa kita akan sentiasa tukar perkara yang kita suka. Manusia sentiasa menukar selera. Pada saya, anak-anak sahajalah sebab untuk meneruskan perkahwinan kerana mereka memerlukan penjaga, pendidik, pemberi nafkah dan kasih sayang. 

Sesungguhnya menjadi orang yang bertanggungjawab itu susah. Ia memerlukan komitmen kita. Dalam dunia ini ramai orang yang tak bertanggungjawab kerana mereka tak kenal pun siapa diri mereka sendiri. Tak hairanlah mengapa kita dapat melihat banyaknya kes perceraian yang berlaku. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah wanita. Mereka akan kecewa, murung, sedih, hampa, duka dan tiada tempat bergantung lagi. Wanita mendapat kesan yang lebih teruk berbanding lelaki kerana wanita itu bersifat memerlukan tempat untuk bergantung. Berbeza dengan lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung.

Kesimpulannya apa yang ingin saya katakan adalah tiada percintaan yang benar sesama manusia. Yang ada hanyalah sejauh mana kita ini mempunyai sifat bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment

Rant on Agamawan dan Umat Islam di Malaysia

 Aku berbangga dengan agama aku (Islam) sebab inilah satu-satunya agama yang mempunyai sumber autentik yang sangat tinggi martabatnya kalau ...