Saya juga pernah merasai saat itu. Saat dimana saya berada dalam kemurungan; tidak gembira dengan hidup.
Itulah masa ketika saya sedang melanjutkan pelajaran saya di University of Toronto. Untuk makluman, saya mendapat tawaran MARA untuk melanjutkan pelajaran saya dalam bidang Ekonomi pada September 2016 setelah saya melepasi syarat akademik yang ditetapkan oleh MARA. Semua orang mengandaikan bahawa belajar di luar negara terutama di negara 4 musim seperti US, Canada, UK atau Australia itu seronok. Begitu juga saya, saya mengandaikan bahawa orang akan memandang tinggi terhadap saya jika saya belajar di luar negara.
Gambar saya dan rakan seperjuangan di University of Toronto. Ini adalah kenangan salji lebat yang pertama. Bangunan di belakang adalah bangunan University College; salah sebuah college di University of Toronto.
Saya masih ingat bahawa saya berangkat ke Toronto, Canada pada 6 September 2016 dan tidak lama selepas itu pada 12 September 2016 saya menyambut hari kemenangan umat Islam iaitu Hari Raya Aidiladha.
Gambar saya ketika Hari Raya AidilAdha 2016 di University of Toronto.
Pada awalnya, saya sangat bersemangat melanjutkan pelajaran saya dalam mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian di University of Toronto. Bersemangatnya saya pada ketika itu sehinggakan banyak duit digunakan untuk membeli buku dan alatan untuk membantu saya belajar. Untuk sebulan yang pertama, saya tidak mengalami masalah dalam pelajaran di sana malahan untuk ujian-ujian pertengahan semester saya mendapat markah yang cemerlang.
Hidup di Toronto adalah seronok sebenarnya. Tempatnya sejuk dan berangin. Tidak seperti Malaysia yang panasnya boleh mencecah 35 darjah celsius pada waktu tengahhari dengan keadaan seperti tiada angin yang bergerak. Di Toronto juga keadaannya sangat menggalakkan orang untuk berjalan kaki dan berbasikal. Apabila bersukan, saya jarang berpeluh walaupun membuat pergerakan seperti berlari dan melompat.
Namun, semangat yang tinggi menjulang itu akhirnya jatuh menjunam. Saya yang sentiasa menhadirkan diri ke kuliah sudah mula ponteng. Untuk makluman, di U of T tiada sistem untuk mengambil kehadiran ke kuliah. Mereka sangat terbuka dalam hal tersebut. Tidak seperti Universiti-Universiti di Malaysia yang akan mengambil rekod kehadiran pelajar ke kuliah.
Jikalau ditanya kepada saya adakah saya mempunyai rakan 'Canadian', saya akan menjawab tidak. Itulah kesilapan saya yang tidak bergaul dengan orang di sana. Ya, saya mengaku bahawa saya silap dalam perkara tersebut. Ini mungkin kerana saya mempunyai sifat yang tidak mesra dengan orang. Tambahan pula, saya menyewa rumah di luar kampus dan tinggal bersama rakan seperjuangan saya yang berasal dari Malaysia juga. Namun, bukanlah saya tidak mahu tinggal di kolej kediaman yang ada di U of T, tetapi kadar sewa bilik yang begitu mahal yang menyebabkan saya tidak mampu untuk tinggal di dalam kampus.
Saya tidak nafikan bahawa saya tidak langsung merasai pengalaman budaya sebagai pelajar universiti yang ada di U of T kerana saya tinggal di luar kampus. Yang saya hanya lakukan hanyalah datang ke kuliah dan kelas tutorial semata-mata. Ya, saya silap juga dalam kes ini kerana saya yang malas untuk mengikuti dan mencari program-program yang ada di university. Ini kerana saya merasakan bahawa ada dinding penghalang yang menyebabkan saya rasa bahawa saya kerdil dan lemah di sana, saya merasakan bahawa saya tidak dimaksudkan untuk berada di situ.
Saya merasakan bahawa saya keseorangan di sana. Benar, saya ada rakan-rakan Malaysia di sana namun saiz komunitinya sangat kecil dan saya berasa tidak selesa untuk berkongsi masalah yang saya ada bersama mereka. Saya tidak pernah mengalami masalah ini ketika di Malaysia. Ini kerana di Malaysia, saya tidak rasa diri saya kerdil atau lemah malah saya mempunyai keyakinan yang tinggi. Biasalah, tempat di mana tumpahnya darah kita, tempat membesar kita, tempat yang mana orangnya sebangsa dan sebahasa dengan kita, tempat yang sentiasa ada orang yang akan dukung dan sokong kita; takkan mungkin kita akan rasa lemah. Namun, di negara orang permainannya berbeza wahai saudaraku! Tiada siapa peduli tentang diri anda, tiada siapa mahu memulakan perbualan dengan anda, tiada siapa akan bantu anda.
Bertambah pula dengan tragedi di mana pada suatu hari; hari pertama saya mengalami salji; saya kehilangan telefon (iPhone SE) semasa saya membeli daging ayam untuk bekalan memasak. Telefon hilang di dalam kedai daging tersebut kerana mungkin ada pencuri saku. Tuhan sahajalah yang tahu betapa ralatnya saya pada ketika itu selepas saya dapat tahu akan kehilangan telefon tersebut.
Ramai orang menyangka bahawa musim sejuk itu seronok dan menyeronokkan. Benar, ia seronok. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk berseronok ketika salji turun. Ia memang merupakan saat yang seronok namun hanya untuk beberapa minggu yang pertama sahaja. Hidup di musim sejuk memerlukan kekuatan mental yang tinggi! Sebagai orang yang tidak pernah mengalami musim ini, saya telah tersilap menilai akan bahana musim sejuk ini. Ia merupakan musim di mana hari siangnya mendung (waktu siangnya singkat), sejuknya sampai ke tulang, memerlukan anda untuk memakai baju yang berlapis-lapis ditambah lagi dengan angin yang bertiup kencang (saya tidak pernah merasakan angin yang sekencang ini di Malaysia malah setelah saya pulang ke Malaysia saya merasakan bahawa Malaysia adalah negara yang tiada angin bertiup langsung). Ia mampu merosakkan perasaan positif anda dalam sekelip mata. Tidak hairanlah ramai yang mengambil keputusan untuk bunuh diri ketika musim sejuk. *Musim sejuk juga adalah waktu di mana banyak gelandangan akan mati kerana kesejukan.
Perkara ini berlanjutan sehingga bulan Februari 2017. Pada ketika ini, saya berfikir secara mendalam akan apa masa hadapan saya di Toronto jika saya berterusan berada dalam keadaan yang teruk ini; Tempat di mana saya tiada keyakinan diri. Adakah saya perlu menghadapi masalah ini untuk 4 tahun lagi? Adakah saya sanggup melihat diri saya gagal dalam perjalanan untuk mendapatkan ijazah? Persoalan ini sering bermain di fikiran saya sehinggalah akhirnya saya membuat keputusan yang sememangnya mengubah kehidupan saya. Saya mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia dan menyambung pelajaran saya di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Saya pulang ke Malaysia pada 1 Jun 2017 dan tidak lama selepas itu saya menghadiri temuduga untuk kemasukan ke UKM sesi 2017-2018 pada 3 Jun 2017. Pada bulan Ogos 2017 saya telah mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di UKM dan sekarang saya bangga kerana merupakan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang sangat sesuai dengan jiwa saya!
No comments:
Post a Comment