Saturday, 12 May 2018

PRU 14: Kerajaan Baharu!

Pada tahun ini(2018), saya berumur 22 tahun. Oleh itu, saya layak untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 14. Ini adalah pengalaman pertama mengundi buat saya bagi menentukan siapa yang akan menjadi wakil rakyat bagi kawasan saya dan seterusnya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri.

Pada pendapat saya, kehangatan Pilihan Raya Umum pada kali ini tidak sehangat seperti PRU13 di mana pada ketika itu Pakatan Rakyat diketuai oleh Saudara Anwar Ibrahim yang mana beliau adalah seorang yang mempunyai kelebihan dalam memberi pidato yang mampu menaikkan semangat pendengarnya. Berbeza pula pada kali ini dimana Pakatan Harapan diketuai oleh Tun Dr. Mahathir. Cara penyampaian pidato Tun tidak bertujuan untuk menimbulkan kemarahan kepada lawan namun lebih kepada menyedarkan pendengar tentang isu nasional.

Pada awalnya, ramai rakyat Malaysia yakin bahawa Parti Barisan Nasional akan memenangi PRU14 dengan kemenangan yang besar kerana pada kali ini hampir kesemua tempat akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang mana mengikut keputusan Pilihan Raya Kecil yang berlangsung di Kuala Kangsar dan Sungai Besar menyaksikan kemenangan berpihak kepada Parti BN. Namun hakikatnya, ramalan bagi PRU14 ini salah.

Keputusan PRU14 menunjukkan bahawa 6 buah negeri telah jatuh ke tangan Pakatan Harapan iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah di samping mengekalkan Negeri Selangor dan Pulau Pinang. Manakala Parti PAS pula dapat menawan Negeri Terengganu dan pada masa yang sama mengekalkan Negeri Kelantan. Parti Barisan Nasional pula mengalami kekalahan teruk di mana mereka hanya dapat mengekalkan 2 negeri sahaja iaitu Pahang dan Perlis (Sarawak tidak termasuk kerana mereka telah mengadakan Pilihan Raya Negeri lebih awal). 

Di peringkat persekutuan, Barisan Nasional hanya memperoleh 79 kerusi Parlimen, PAS mendapat 18 kerusi dan Pakatan Harapan memperoleh 122 kerusi(Selebihnya bebas). Ini adalah kekalahan buat kali pertama bagi Parti BN dan ianya adalah kekalahan yang teruk.

Apa yang saya boleh katakan ialah kemenangan Pakatan Harapan adalah kerana faktor-faktor berikut:

1. Sokongan padu daripada masyarakat Cina sejak PRU13 lagi kepada Pakatan Harapan.

2. Berlakunya Tsunami Melayu di mana sebelum ini Parti BN dapat memenangi PRU kerana mereka mendapat sokongan majoriti masyarakat Melayu. Namun pada kali ini, masyarakat Melayu telah mengubah sokongan mereka kepada Parti Pakatan Harapan.

3. Peningkatan pengundi Golongan Muda (40 tahun ke bawah) di mana golongan ini mewakili hampir 50% daripada keseluruhan pengundi bagi PRU14. Majoriti golongan ini menyokong Parti Pakatan Harapan.

Seterusnya, Parti  BN kalah kerana faktor-faktor berikut:

1. Gagal mengesan peralihan sokongan pengundi kepada Parti Pakatan Harapan pada saat-saat akhir sebelum hari mengundi (9 Mei 2018).

2. Memperkenalkan cukai GST yang merupakan langkah bukan populis.

3. Kos sara hidup yang meningkat.

4. Skandal-skandal politik yang melibatkan pemimpin Parti BN.

5. Dan yang paling utama sekali adalah kerana Najib dan Rosmah yang mana dua insan ini sangat tidak digemari oleh majoriti pengundi PRU14. 

Kesimpulannya, Pilihan Raya adalah ujian sokongan. Jika kita mahu menang pilihan raya, kita perlu mendapat sokongan yang paling ramai. Gagal mengesan peralihan sokongan kepada parti lawan adalah seperti menempah kekalahan. Kini, kita telah mempunyai sebuah Kerajaan Baharu iaitu Kerajaan Pakatan Harapan. Harapan saya adalah untuk melihat Reformasi dalam pentadbiran Negara supaya ianya menjadi telus, amanah, bebas rasuah, berintegriti, ikhlas, jujur, cekap dan pantas.

Hidup Malaysia!

No comments:

Post a Comment

Rant on Agamawan dan Umat Islam di Malaysia

 Aku berbangga dengan agama aku (Islam) sebab inilah satu-satunya agama yang mempunyai sumber autentik yang sangat tinggi martabatnya kalau ...